: Story by pakDEN :

Take 4

“Apa ni Yu? Aku tak setuju dengan perbuatan kau ni.” bentak Khaled lalu memalingkan mukanya memandang ke hadapan dan aku cuma mampu menunduk sambil meneruskan langkah.

“Kenapa kau tak bincang dulu dengan kami?” soal Fakhrin tanpa memandang wajah aku. Kenapa hari ini perjalanan menuju ke universiti aku rasakan begitu jauh sekali? Aku tahu, memang salah aku membawa Ariffah ke rumah tanpa memberitahu kepada Khaled dan Fakhrin terlebih dahulu. Kami bertiga berhenti di hadapan landasan keretapi. Sayup di sebelah kiri kelihatan lampu depan tren bersinar dan gegaran landasan keretapi di hadapan kami semakin kuat. Melihat tren yang berlalu laju dihadapan, aku cuma mampu berharap agar ia akan membawa bersama serabut hati ini pergi. Aku memejamkan mata dan segala yang berlaku semalam datang kembali memenuhi ruang kepala aku.

Ketika itu sudah pukul 4 pagi dan Khaled bangun dari tidur untuk menunaikan solat Subuh. Oleh kerana aku tidur di bilik Khaled tanpa pengetahuannya, dia tidak sedar tubuh aku yang dibaluti kain selimut di sudut bilik. Mungkin dia fikir itu cuma longgokan kain busuknya yang ingin dibasuh. Sudah menjadi kebiasaan Khaled mengejutkan aku sembahyang Subuh. Dengan matanya yang sedikit terpejam dia menolak pintu bilik aku dan terus menuju ke katil. Ketika itulah rumah 202 digegarkan dengan jeritan, bukan satu tapi dua jeritan dari suara yang berlainan pitch. Apabila aku dan Fakhrin tiba di hadapan pintu bilik aku, kami dapat lihat Khaled yang sedang terduduk di lantai dengan mata terjegil dan Ariffah yang ketakutan sambil menutupkan sebahagian wajahnya dengan kain selimut busuk aku. Mata Ariffah menceritakan dengan jelas perasaannya ketika itu, takut. Manakala mata Khaled pula sudah terpaku memandang mata aku, mengharapkan penjelasan kepada apa yang telah berlaku. Aku menarik tangannya bangun dan menyuruhnya pergi berwuduk. Fakhrin mengekori Khaled ke tandas dan aku meminta Ariffah bertenang dan kembali tidur. Selepas solat Subuh berjemaah Khaled tidak menyalami aku, membuktikan betapa marahnya dia dan Fakhrin pula cuma menunjukkan sedikit reaksi terkejut dan menggelengkan kepala sebelum beredar kembali ke biliknya.

“Khaled, kau kena faham keadaan aku semalam..” aku meletakkan tangan kanan aku ke atas bahu Khaled sambil tangan kiri aku masukkan ke dalam poket seluar.

“Macam mana aku nak faham kalau kau tak cerita?”

“Ceritalah Yu, aku nak tahu jugak macam mana boleh ada tuan puteri terlepas ke rumah kita tu hehe..” Fakhrin berjenaka, cuba meredakan perasaan Khaled yang tegang. Aku pun memulakan kisah aku. Aku ceritakan kepada Khaled dan Fakhrin bagaimana gelabahnya aku kerana hampir terlepas tren terakhir untuk pulang ke rumah dan bagaiman Ariffah tiba-tiba muncul dan meminta pertolongan aku. Aku cuba tekankan kepada mereka berdua betapa aku pada ketika itu, pada masa Ariffah meminta pertolongan aku itu, begitu serabut dan tertekan kerana tren sudah hampir berlepas. Senyuman mula terbit di bibir Khaled manakala Fakhrin pula mengangguk tanda faham. Aku bersyukur kerana dikurniakan dua teman serumah yang mudah memahami.

“Kalau niat kau ikhlas nak tolong ermm..apa entah nama budak tu..bagus lah. Cuma kau jangan lupa pesanan Ustaz Ismail sudahlah hahaha..” keadaan kembali ceria dan pintu masuk ke universiti sudah semakin kelihatan. Kami bukan bertiga sahaja tetapi bersama-sama satu arus kelompok manusia lain yang berlainan bangsa, sedang bergerak menuju ke Universiti Meiji. Aku yang berjalan di tengah-tengah di antara kami bertiga meletakkan tangan aku ke atas bahu Khaled dan Fakhrin sambil menyanyi-nyanyi kecil.

“Weh beratlah bahagian kiri kau ni..ni mesti sebab banyak buat dosa semalam ni hahaha!” Fakhrin mengenakan aku. Badan Khaled pula bergegar menahan ketawa. Aku menarik telinga Fakhrin sekuat hati dan kemudian melepaskan pautan tangan dari bahu mereka lalu berlari memanjat tangga memasuki perkarangan universiti. Fakhrin memegang telinga kirinya yang kesakitan dan kemudian berlari mengejar aku.

“Tunggu kau Yu!”

Dan semua orang di situ memandang aneh ke arah tiga orang asing yang bertutur bahasa yang tidak mereka fahami dan berkelakuan ganjil di awal pagi.

……………………………………………………………………………………………….

“Assalamualaikum!” aku menolak daun pintu perlahan. Fakhrin menjengok kepala dari bukaan pintu dan cuba meninjau keadaan dalam rumah. Masih lagi tidak berubah. Televisyen Sharp second hand 29 inci masih lagi berada di sebelah peti sejuk Toshiba yang tinggi hampir sama dengan aku. Meja kecil dan PS2 masih lagi berada di tengah-tengah ruang tamu. Cuma aku dan Fakhrin yang pulang kerana Khaled masih perlu menghadiri satu kelas lagi petang nanti.

“Nasib baik tuan puteri kau tu bukan pencuri hahaha..” Fakhrin masuk ke dalam rumah dan melemparkan begnya ke dalam bilik. Aku masih lagi tercegat memerhatikan keadaan dapur. Aku masih ingat lagi terdapat kesan tumpahan minyak di sebelah sinki, bau busuk yang datang dari tong sampah dan keadaan pinggan mangkuk yang berselerak sebelum kami bertiga keluar ke universiti pagi tadi.

“Kenapa yang kau tercegat kat situ tu?” Fakhrin menegur aku dan apabila dia melihat keadaan dapur, dia pun turut berhenti dan melihat keindahan luar biasa dapur itu.

“Hahaha…Kau bukan bawak pulang tuan puteri, tapi orang gaji hahaha..” aku tersenyum mendengar kata-kata Fakhrin dan sempat aku menumbuk bahunya sebelum dia hilang masuk ke dalam bilik air. Mahu berwuduk untuk solat Zuhur mungkin. Sudah 2.30 petang dan aku pun masih belum menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya lagi.

“Hai awak! Cantik tak dapur awak tu?” Ariffah muncul entah dari mana. Mungkin dia berehat di beranda bilik Khaled sebentar tadi.

“Erm cantik..cantik…terima kasih sebab tolong kemaska...” kata-kata aku termati di situ. Aku memandang Ariffah dengan mata yang terkebil-kebil kerana aku sekarang sudah kurang pasti apa yang cantik di mata aku. Ariffah ataupun dapur rumah aku. Dia menyarung kemeja Converse biru berbelang putih milik aku dan, cuma berseluar pendek! Astagfirullahalazim.

“Tolong tukar pakaian awak tu, ambil seluar sukan saya dalam laci paling bawah dalam almari tu.” aku menundukkan pandangan. Kalau Khaled berada di sini pada saat ini mungkin dia akan kembali marah kepada aku kerana membawa bunga maksiat ke dalam rumah 202.

“Kenapa? Tak comel ke macam ni?” Ariffah tunduk memandang kemeja di tubuhnya dan menarik kemeja itu sedikit seperti cuba memastikan kesesuaian kemeja itu dengan tubuhnya. Aku terdengar pintu bilik air di belakang aku terbuka.

“Yelah Yu, tak comel ke macam tu?” Fakhrin tersengih sambil mengelap rambutnya yang basah, memandang muka aku yang sedang menahan geram. Sengaja Fakhrin mahu menduga hati aku. Memang comel tetapi tidak sesuai!

“Tak. Tak comel. Dan sekarang awak pergi tukar.” aku melangkah masuk ke bilik Khaled dan meletakkan beg di sudut bilik. Aku dapat dengar Fakhrin ketawa kecil sambil bersiul-siul masuk ke biliknya. Aku juga dapat dengar Ariffah menutup pintu bilik aku untuk menukar seluar. Dugaan apakah ini ya Allah? Aku berbaring di atas tilam Khaled sambil memandang siling dan kedua belah tangan aku silangkan di belakang kepala. Tiba-tiba pintu bilik Khaled terbuka.

“Ini ke seluar sukan awak?” Ariffah muncul dengan seluar pendek jersi bola aku, lebih pendek dan lebih ketat dari seluar tadi, sambil berpusing-pusing di hadapan aku.

“Bukanlah! Seluar track yang panjang tu. Warna hitam. Adidas.” aku sedikit marah. Mungkin tertekan dengan dugaan Tuhan yang hebat ini. Aku menekup muka aku dengan bantal Khaled. Busuk.

“Janganlah marah..Orang mana tahu…” kedengaran lagi sekali pintu bilik aku di tutup. Betul jugak. ‘Kenapa aku marah dia tadi?’ Sesal aku dalam hati. Aku perlu lekas menghantar Ariffah pulang, tidak kisah dari mana asalnya. Kalau aku perlu naik bullet train sekali pun aku sanggup. Aku tidak tahu sampai bila syaitan dalam tubuh aku dapat disekat. Aku bangun dan menukar seluar dengan tuala biru Khaled. ‘Kecil la pulak towel Khaled ni.’ rungut aku.

“Ariffah, saya nak sembahyang Zuhur. Sambil-sambil tu awak bersiaplah. Lepas ni saya hantar awak pulang ke hotel awak.” dia sedang berbaring di atas katil aku sambil membaca majalah Times. Wajah Bush, musuh utama Osama Laden dan juga aku menjadi cover untuk keluaran bulan ini. Ariffah tidak memandang wajah aku ataupun membalas kata-kata aku. Cuma Bush tersenyum mengejek memandang aku. Aku malas mahu ambil peduli lalu bergerak ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Setelah selesai berdoa aku menukarkan kain pelikat dengan seluar jeans kembali. Aku memastikan yang beg duit aku berada di poket belakang kanan seluar dan memasukkan telefon bimbit ke dalam poket hadapan seluar. Sedang aku bersiul lagu Kenangan Terindah nyanyian Samson sambil menyikat rambut di hadapan cermin bilik Khaled, kedengaran suara gelak ketawa di bahagian dapur. Suara lelaki dan perempuan. Aku membuka pintu bilik. Fakhrin sedang bergelak ketawa dengan Ariffah di hadapan sinki. Ariffah memakai apron putih Ajinomoto yang Khaled perolehi secara percuma dari Yuri Store tempoh hari.

“Hahaha..itupun Yu dah keluar. Yu, kau datang sini tengok macam mana si Ariffah ni potong ayam hahaha..bentuk lambang Batman pun ada ni!” sungguh-sungguh Fakhrin melambai ke arah aku.

“Mana saya tahu nak potong ayam..” Ariffah bersuara manja sambil memusingkan wajah memandang aku. Bukankah sudah aku katakan yang aku akan menghantarnya pulang sebentar tadi?

“Kenapa awak nak potong ayam pulak? Bukan ke saya dah cakap nak hantar awak pulang ke hotel?” aku meninggikan sedikit suara. Cik Ariffah ini sudah melampau. Mukanya berubah menjadi masam, seperti budak kecil yang hilang botol susunya.

“Oh..kalau awak dah nak balik, bagi sini pisau tu. Biar saya yang sambung kerja awak ni.” Fakhrin tersenyum menghulurkan tangan meminta pisau dari tangan Ariffah, kemudian memandang sedikit ke arah aku. Mungkin Fakhrin hairan dengan kemarahan aku yang muncul secara mendadak.

“Tak nak balik!” jerit Ariffah. Kemudian dia melemparkan pisau ke dalam sinki. Berdenting kuatnya apabila bilah pisau bertemu dinding sinki yang diperbuat daripada besi itu. Dia berlari masuk ke dalam bilik aku dan menutup pintu. Bergegar besi katil aku apabila Ariffah melontarkan diri ke atasnya.

“Awak sama saja jahat macam papa saya! Saya benci papa! Saya benci awak!!” aku dan Fakhrin saling berpandangan, terkejut dengan apa yang baru berlaku di hadapan kami sebentar tadi. Nasib baik tidak dilontarnya pisau itu ke arah Fakhrin. Kalau tidak sudah tentu kekasih Fakhrin di Malaysia akan menangis tanpa lagu. Aku menundukkan kepala memandang lantai. ‘Di mana salah aku?’ jerit batin kecil aku. Fakhrin meletakkan tangannya di belakang bahu aku dan mengajak aku lepak di biliknya. Aku menurut lemah. Gadis Comel 4 – Yuzaini 1.



3 Comments:

Anonymous Anonymous said...

It's simple and sweet. I love it! Wish I could write like this so live could be less complicated.
Keep on writing!

8:51 PM  
Anonymous Anonymous said...

cepat sambungggg@!~

nggak sabar nggu episod seterusnye,pakden!

6:23 PM  
Anonymous Anonymous said...

ni bile nak sambung balik ni?

1:13 PM  

Post a Comment

<< Home