: Story by pakDEN :

Take 3

Aku membuka pintu hadapan dengan perlahan-lahan, berhati-hati supaya tidak menyedarkan teman-teman serumah dengan kepulangan aku. Aku memaling muka ke arah Ariffah dan membuat isyarat supaya diam dengan meletakkan jari telunjuk aku di bibir. Ariffah yang masih dalam keadaan penat kerana menangis dan terpaksa mendaki bukit untuk ke rumah aku membuat muka seolah-olah tidak faham dengan isyarat aku.

“Kenapa ni?” bisik dia perlahan, sambil memandang ke kanan dan ke kiri seperti kami ingin memecah masuk ke rumah orang.

“Kawan-kawan saya sedang tidur. Saya taknak ganggu mereka.” sedangkan aku tidak mahu rakan serumah aku sedar akan kehadiran perempuan dalam rumah 202 ini. Mana tidaknya, akulah yang paling berkobar-kobar menetapkan peraturan bahawa perempuan diharamkan masuk ketika kami mula-mula menjejakkan kaki ke rumah ini. Tetapi sekarang aku pula yang mahu melanggarnya. Ego aku tidak akan membenarkan orang lain tahu yang aku sudah menelan ludah sendiri.

“Ooo..baguslah awak ni.” dia tersenyum lagi. Solekkan di wajahnya sudah luntur, menampakkan warna kulitnya yang agak pucat.

Ketika kami melalui hadapan pintu bilik Fakhrin, kedengaran suara orang terbatuk dengan tiba-tiba. Degup jantung aku terhenti. Kemudian cepat-cepat aku bergerak ke bilik aku dan Ariffah membuntuti aku. Sebelum menutup pintu bilik, aku dapat lihat periuk di atas dapur tertutup, menandakan dalamnya berisi, dan lampu penunjuk di periuk nasi elektrik sedang berkelip hijau. ’Nasib baik budak-budak ni dah masak.’ aku mengeluh nafas lega. Aku tidak mahu keluar ke kedai lagi jika puan besar ini hendak makan malam. Aku berpaling ke arah katil dan Ariffah sedang duduk, kedua-dua belah lututnya dirapatkan, kepalanya dipalingkan ke arah cermin lutsinar yang menjemput cahaya bulan, seperti seorang pengantin yang sedang menunggu kehadiran sang arjuna pada malam pertama. ‘Astagfirullah..ingat apa yang Ustaz Ismail cakap, Adam dan Hawa yang berada dalam satu tempat yang tertutup tidak pernah berdua..’ aku memalingkan muka aku ke arah meja belajar, menekan butang menghidupkan komputer dan meletakkan beg aku di bawah katil. Ariffah pula bangun dan berjalan-jalan di dalam bilik aku.

Bilik ini tidak begitu luas, bersaiz 4x5 meter, sebuah katil bujang dan almari pakaian terletak bertentangan antara satu sama lain dan dirapatkan ke dinding, meja belajar aku yang terletak di hujung katil serta satu rak kecil tempat aku sumbatkan segala buku pelajaran dan majalah Times langganan aku. Walaupun mata aku terpaku ke monitor komputer dan kelihatan seperti aku sedang menyemak email, otak aku sedang ligat memikirkan perkara lain. Entah bagaimana hendak aku terangkan kepada rakan-rakan serumah aku tentang kehadiran Ariffah.

Khaled tinggal di bilik bersebelahan dengan bilik aku. Khaled sudah lama bersama dengan aku, sejak dari sekolah menengah lagi, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, sehinggalah di universiti, Universiti Meiji. Cuma kami berlainan aliran. Aku memilih untuk mengikuti kejuruteraan mekanikal manakala Khaled meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektronik. Tingginya lebih kurang aku, berkulit sawo matang dan rambutnya agak berserabut. Fesyen katanya. Apabila memikirkan hal Khaled, bayangan Ustaz Ismail akan bermain-main di minda aku. Khaled bergerak aktif dalam badan dakwah ketika di sekolah dahulu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ustaz Ismail. Khaled masih lagi mengekalkan gaya-gaya seorang lepasan SMAK Labu manakala pernampilan dan gaya aku pula sekarang lebih menyerupai kepada ahli kumpulan SMAP yang dianggotai oleh Takura Kimuya itu.

Fakhrin, berasal dari Melaka, tinggal di bilik paling hadapan dan berdekatan dengan pintu masuk. Dia belajar satu bidang dengan aku dan adalah seorang yang terbuka serta dapat menyesuaikan diri dengan situasi. Walaupun Fakhrin tidak akan bercakap banyak jika dia tahu tentang kehadiran Ariffah, tetapi ayat-ayat sinisnya akan tetap menyengat telinga aku nanti. Aku dapat bayangkan kata-katanya yang pendek, bernada jenaka tetapi padat dan tajam, serta bakal menyucuk ego dan perasaan aku. Aku tahu Fakhrin tidak pernah mahu melihat rakannya hanyut atau kecundang dalam apa bidang sekali pun. Namun begitu, Fakhrin kelihatan seperti begitu mematuhi kata-kata kekasihnya yang berada jauh di Malaysia. Aku tersenyum sendiri, memikirkan karenah kawan-kawan serumah aku, tidak menyedari Ariffah sedang memerhatikan perubahan wajah aku dengan penuh minat.

“Hah! Apa awak buat ni?” aku terkejut melihat matanya membulat memerhatikan aku. Ariffah membongkokkan badan dan jarak di antara wajah kami berdua cuma kira-kira 15cm sahaja.

“Saje. Pelik tengok awak senyum sorang-sorang. Kat mana saya nak tidur ni?” katanya sambil menegakkan badan, berpusing melihat katil dan meregangkan kedua belah tangannya ke atas. Jam pun sudah menunjukkan 1.20 pagi.

“Awak tidurlah kat sini. Saya nak amik tuala, mandi, dan kemudian tidur di bilik kawan saya di sebelah. Nak makan tak?” aku menekan suis di bawah monitor komputer dan memadamkannya. Tangan aku mencapai tuala dan kain pelikat di pintu almari baju yang sedikit terbuka. Seluar pendek biru muda bermotif bunga matahari kuning jelas kelihatan kerana terletak di bahagian atas sekali. ‘Biarlah. Ariffah ni pun bukannya budak-budak lagi.’ kata aku di dalam hati, cuba meredakan perasaan malu yang muncul secara tiba-tiba.

“Taknak. Nak tidur. Penatlah panjat bukit nak ke rumah awak tadi.” Ariffah senyum seperti seorang kanak-kanak yang baru dibelikan alat permainan baru. ‘Nasib baik dia taknak makan’. Punggungnya diletakkan di atas tilam sambil tapak tangannya menekan besi katil, dia memandang ke arah aku. Lebar senyumannya sehingga matanya yang sepet itu tertutup. Aku mengucapkan selamat malam dan bergegas keluar sambil menutup pintu bilik aku dengan cermat. Aku tidak mahu berada lama-lama di situ. Aku tahu syaitan begitu hebat menggoda. Sebab itulah Adam dan Hawa terbuang dari kota syurga dan melata di bumi yang penuh dengan kejahatan ini.

Selesai menyegarkan badan, aku mengenakan kain pelikat dan mengelap rambut di ruang tamu. Sudah tiada tanda-tanda pergerakkan di dalam bilik aku. ‘Baguslah dia dah tidur..’. Aku menolak daun pintu bilik Khaled perlahan-lahan. Khaled sedang tidur berbungkus kain selimut MAS yang diambilnya ketika penerbangan kembali ke Jepun tempoh hari. Tiba-tiba tubuhnya bergerak-gerak dan dia memalingkan muka ke arah aku. Wajahnya berubah ceria dan tersenyum-senyum. Bermimpi berjumpa dengan Siti Suraya barangkali, teman email Khaled yang berada di Universiti Kyoto, jauh di bawah sana berdekatan Osaka. Kelakar jugak melihat keadaannya begitu tetapi aku tidak boleh bising. Terpaksa aku menahan tawa di dalam perut.

Aku membentangkan sejadah dan membetulkan lipatan kain aku. Mata dipejamkan rapat dan dengan suara yang perlahan, aku mengangkat takbir Isyak, panjang dan sayup. Malam sunyi itu seperti bersama dengan aku bertasbih memuji kekuasaan Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dia sahaja yang tahu hikmah disebalik semua kejadian ini. Bunyi-bunyi cengkerik yang mula kedengaran kerana musim panas yang menghampiri, umpama muzik latar yang menyokong bacaan Fatihah aku. Selesai solat, tangan ditadahkan menghadap Ilahi, memohon kekuatan untuk menempuhi dugaan ini dan berharap masa akan lebih cepat berlalu. Amin.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home