: Story by pakDEN :

Take 5

Selepas peristiwa Ariffah melontarkan pisau ke dalam sinki tempoh hari aku sudah tidak menyebut lagi hal berkaitan mahu menghantar dia pulang. Sudah 2 hari berlalu dan selama itu jugalah Ariffah tinggal di bilik aku, memakai pakaian aku, memasakkan kami pelbagai makanan yang aneh rasanya dan sentiasa mengajak kami melayaninya berborak apabila kami bertiga masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Semalam dia menggosokkan pakaian kerja aku dan apabila aku tiba di kafe, ramai yang menegur penampilan aku berbeza dari biasa kerana kelihatan lebih kemas dan teratur. Mulut becok Aomi-san dengan selamba menuduh aku sudah berkahwin manakala Arashi-kun pula tidak habis-habis bertanyakan samada aku sekarang tinggal dengan teman wanita aku atau tidak. Aku yang sudah penat menerangkan aku masih single, cuma mampu berbuat bodoh dan berpura-pura tidak memahami bahasa Jepun. Khaled terlopong mendengar dari mulut Fakhrin cerita Ariffah melontarkan pisau dan kemudian Khaled memarahi aku kerana membawa pulang orang kurang siuman ke rumah 202. Khaled pun sudah tidak bertanyakan aku lagi bila Ariffah akan pergi dari rumah kami. Kami bertiga sedang hidup dalam keadaan serba salah dan sedikit takut walaupun dari mata kasar kelihatan kami mesra dan boleh bergelak ketawa bersama Ariffah.

“Hari ni kita makan ayam lemon, boleh?” Ariffah muncul di muka pintu bilik Khaled dan pada apron Ajinomoto putih itu terdapat beberapa tompok kecil darah. Tangan kirinya dicekakkan ke pinggang manakala tangan kanannya sedang memegang pisau. Aku dan Khaled saling berpandangan selepas melihat keadaan Ariffah yang agak menakutkan itu.

“Boleh boleh..Ariffah masak kan sedap. Semua boleh jek thehe..” kata Khaled sambil ketawa kecil yang dibuat-buat. Aku pula mengangguk laju apabila Ariffah memandang ke arah aku seperti meminta kepastian. ‘Ya Allah, selamatkan hambaMu ini..’ dan aku dapat rasakan Khaled juga seperti mendoakan hal yang sama dalam hatinya.

“Ok.” senyum Ariffah lebar sampai ke telinga. Dia berpusing mahu menuju ke dapur, tetapi tiba-tiba dia berpusing kembali. “Hari ni awak kerja jugak ke?”

“Saya?” kenapa aku bertanya lagi? Sememangnya cuma aku seorang yang bekerja sambilan di rumah ini. “Kerja tapi start pukul 8 dan habis pukul 11 malam. Syif pendek.”

“Kalau macam tu saya nak ikutlah ye hehe..” senyum Ariffah menyebabkan pipi gebunya menutup terus matanya. Kemudian dia berpusing menuju ke dapur sambil menyanyi riang. Lagi sekali aku dan Khaled berpandangan. Kami berdua sama-sama tersenyum. Ariffah sudah mahu pulang!

Selepas solat maghrib berjemaah, kami mula duduk bersila dalam bulatan di hadapan televisyen. Makanan sudah Ariffah hidangkan. Telekung Ariffah Fakhrin pinjam dari Akak Nur, isteri Abang Azman, lagi seorang warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian peringkat kedoktoran di Universiti Meiji. Menurut Fakhrin, banyak juga soalan yang ditanyakan Akak Nur dan Fakhrin tiada cara lain kecuali menerangkan hal yang sebenar. Abang Azman dan Akak Nur ketawa terbahak-bahak mendengar cerita tentang kami bertiga yang takutkan Ariffah kerana khuatir ditikam. Jam dinding berbingkai hitam yang tergantung di atas televisyen sudah menunjukkan waktu 6.30 petang. Aku perlu makan dengan pantas supaya tidak terlepas tren. Kami mula menjamah nasi putih berlaukkan Ayam Lemon masakkan Ariffah. Masam.

“Sedap tak? Saya cipta sendiri tau resipi ni tadi hehehe…” katanya riang sambil terus menjamah nasinya tanpa memandang ke arah kami bertiga. Suka betul si Ariffah ini senyum.

“Seeeedaaaap!!” Fakhrin menjawab dengan nada lanjut. Kemudian aku dan Khaled pun menambah dengan menganggukkan kepala.

“Comel je Fakhrin jawab macam tu hehehe..nasib baik dah ade awek, kalau tak saya bungkus je Fakhrin bawak balik!” tambah Ariffah selepas mendengar jawapan Fakhrin.

“Bungkus je bawak balik Ariffah ooi. Bagi aman sikit rumah ni. Kalau tidak tiap-tiap malam dengar suara dia dok pujuk rayu kekasih dia tu.” Khaled ketawa kecil sambil menambah. Aku ketawa agak besar. Nasib baik tidak tersembur nasi dari mulut aku. Fakhrin pula memandang geram ke arah Khaled.

“Makan cepat sikit kalau nak ikut saya.” aku memberitahu Ariffah. Dia mengangkat dagu memandang aku dan tersenyum. Senyum lagi!

Berita di televisyen melaporkan perjumpaan di antara Menteri Luar Jepun dan Malaysia terpaksa ditangguh kerana Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Syed Hamid Albar mempunyai masalah peribadi mengejut. Aku meminta Khaled yang berada berdekatan dengan televisyen untuk menguatkan sedikit suara. Menurut laporan itu lagi, Datuk Seri Syed Hamid Albar mungkin akan meminta bantuan pihak berkuasa tempatan Jepun untuk menyelesaikan masalahnya itu.

“Memalukan sungguh. Macam mana dia boleh pentingkan masalah peribadi berbanding tugas terhadap negara? Bodoh betul menteri-menteri Malaysia ni..” aku menggelengkan kepala sambil menyuapkan nasi. Sedap pula aku rasa Ayam Lemon Ariffah ini.

“Ala Yu..masalah serius la tu. Sampai nak minta bantuan Polis Jepun.” Khaled selalu membela golongan atasan apabila kami berbicara topik sebegini.

“Serius atau tak bukan masalahnya. Yang penting kenapa dia tak settle kan tugasnya sebagai menteri dulu sebelum memikirkan hal peribadi? Betul tak Yu?” dan Fakhrin sentiasa bersama aku mengutuk kelemahan pentadbiran negara.

“Betul tu hehehe..” aku menunjukkan isyarat bagus menggunakan tangan kiri aku kepada Fakhrin. Ketika itu aku perasan yang Ariffah masih lagi memandang ke kaca televisyen, memandang visual Datuk Seri Syed Hamid Albar sedang masuk ke dalam kereta Lexus LS460 bewarna hitam dan diiringi beberapa orang pembantu peribadinya. Kemudian dia menunduk dan mengesatkan matanya seperti ada habuk masuk. ‘Takkan la Ariffah ni faham berita Jepun?’ fikir aku dalam hati.

“Ariffah, awak ok ke?” aku bertanya dengan nada mengambil berat dan sedikit curiga. Curiga kerana mungkin kami bertiga telah tertipu kerana sangkakan Ariffah tidak tahu berbahasa Jepun. Khaled dan Fakhrin juga memandang ke arah Ariffah.

“Ok jek hehe..Takde apa-apa pun…” dia tersenyum dan kembali menyuap nasi.

“Kalau takde apa-apa, harap awak boleh makan cepat-cepat sikit. Kita perlu kejar tren ni.”

Ariffah mengenakan pakaian yang sama seperti ketika dia mula-mula tiba di rumah 202 dahulu, dress coklat menampakkan sedikit bahagian bawah leher putihnya dan seluar jeans biru Guess yang agak ketat di bahagian punggung. Beg tangan LV berbentuk silinder dan bersaiz kecil diletakkan di atas meja. Nakal betul mata aku memerhatikan Ariffah dari jauh. Aku menghampiri meja tempat Ariffah berada. Aku memegang dulang hijau empat segi yang diletakkan secawan latte di atasnya dengan cermat.

“Ape awak tengah buat tu? Bila awak nak call ayah awak?” aku cuba berbasa-basi.

“Nanti la dulu. Saya nak lepak kat sini kejap, nak tengok awak buat kerja hehe..”

“Suka hati awak la cik Ariffah. Tapi awak kena ingat yang saya sedang bekerja dan tak boleh nak melayan awak sangat. Ini latte awak. Panas tau.” aku meletakkan cawan berisi latte itu di atas meja. Dua orang lelaki Jepun yang sedang berborak di meja sebelah berhenti bercakap kerana tertarik dengan bahasa yang aku dan Ariffah gunakan. Aku tahu mereka sedang menjengok ke arah Ariffah kerana menyangkakan dia seorang Jepun.

“Baik En.Yuzaini, saya takkan ganggu awak.” Ariffah tersenyum lebar memandang aku sampai tertutup kedua belah mata sepetnya. Kalau ikutkan hati rasa macam hendak cubit sahaja pipi gebunya.

Sebaik sahaja aku kembali ke kaunter Aomi-san sudah tersenyum lebar memandang aku. Tiba-tiba dia menepuk kuat belakang aku sambil berkata yang aku sungguh baik hati terhadap teman wanita aku. Aku yang tidak bersedia untuk menerima tepukan Aomi-san menyebabkan badan aku sedikit ke depan. Sakit sungguh. Aomi-san ialah seorang perempuan yang berbadan agak gempal maka kuasa tepukan tadi bukanlah seperti kuasa tepukan manja. Dia cuma ketawa melihat keadaan aku. Sudah penat aku menafikan yang Ariffah itu bukan teman istimewa, cuma kawan biasa sahaja tetapi Aomi-san dan Arashi-kun yang juga bertugas bersama aku malam ini tidak memperdulikan kata-kata aku. Arashi-kun yang masih single itu berulang kali bertanya kepada aku bagaimana caranya untuk mengajak teman wanita tinggal satu rumah bersama. Aku cakap yang aku dan Ariffah tidak tinggal bersama, dia cuma menumpang untuk sementara waktu sahaja. Arashi-kun tersenyum dan menidakkan kata-kata aku. Aku terpaksa berlaku kejam dengan mengatakan kepada Arashi-kun yang dia perlu mencari teman wanita terlebih dahulu kemudian baru fikir untuk tinggal bersama. Arashi-kun menarik muka masam selepas mendengar kata-kata aku dan kembali ke bar.

Malam ini aku bertugas sebagai support. Sesekali aku membantu Aomi-san di kaunter dan kadang-kadang aku menyediakan kopi bersama Arashi-kun. Masa terluang aku yang agak banyak membolehkan aku memerhatikan gerak-geri Ariffah. Dia masih di meja tadi dan memandang ke arah orang ramai yang sedang lalu lalang. ‘Bila lah dia nak call bapak dia nih?’ aku berfikir sendiri. Tiba-tiba dia memandang ke arah aku yang sedang menyusun paket-paket kopi ke atas rak, mata aku dan Ariffah bertembung. Aku membalas senyumannya. Sedang kami berbalas senyuman telefon bimbit Ariffah berbunyi dan dia tenggelam ke dalam perbualan telefonnya. Semakin lama air mukanya menjadi semakin serius. Aku tidak dapat meneruskan pemerhatian aku kerana aku perlu mengambil kotak baru untuk menyusun lagi paket kopi di rak ini sehingga penuh. Walaupun kaki aku bergerak menuju ke bilik belakang untuk mengambil kotak stok kopi yang baru, dalam kepala aku ligat memikirkan perubahan ketara air muka Ariffah sebentar tadi sehingga aku tidak sedar dan hampir melanggar Nakada-san, supervisor aku. Aku meminta maaf dan berpura-pura senyum sambil melaporkan kepada Nakada-san yang semuanya berjalan dengan lancar pada malam ini. Sifat mudah memohon maaf masyarakat Jepun sudah memasuki tubuh ini, menjadi satu tabiat yang aku kira positif.

Nakada-san menggantikan tempat Aomi-san di kaunter dan kini aku dan Aomi-san sedang bersama-sama menyusun paket kopi ke atas rak yang terletak betul-betul di depan pintu masuk kafe. Kehadiran Aomi-san menyukarkan aku untuk mencuri pandang ke arah Ariffah kerana khuatir akan dijadikan bahan jenaka kelak. Jam tangan aku sudah menunjukan pukul 10 malam, bermakna sudah hampir setengah jam Ariffah bercakap menggunakan telefon bimbitnya. Lagi setengah jam lagi kafe akan ditutup tetapi Ariffah masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan beredar. Aku cuba memerhatikan bahagian hadapan kafe jika ada tanda-tanda kehadiran sesiapa kenalan Ariffah yang datang menjemputnya pulang. Hampa. Yang ada cuma sekumpulan 4 orang yang aku kira pelajar universiti, jurusan arkitek barangkali berdasarkan peralatan yang di bawa mereka, sedang bersembang sambil menikmati kopi masing-masing. Tiba-tiba aku merasakan seperti sedang diperhatikan. Terkejut aku kerana kepala Aomi-san berada di sebelah kepala aku dan menghala ke arah Ariffah tetapi ekor matanya memandang ke arah aku. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Aku mengingatkan Aomi-san yang kami sedang bekerja maka tindakannya ketawa sebegitu bukanlah satu perkara yang sopan. Dia tidak memperdulikan kata-kata aku kerana katanya, ketika itu tiada pelanggan berdekatan dengan kami berdua. maka peraturan itu tidak boleh diperaktikkan. Kemudian Aomi-san yang masih mempunyai kesan tawanya menuju ke arah Arashi-kun dan Nakada-san untuk menceritakan kelakuan aku memerhatikan Ariffah sebentar tadi. ‘Entah hape-hape Aomi-san nih...’

Apabila aku memalingkan semula kepala untuk melihat Ariffah, aku nampak dia sedang bingkas bangun dari tempat duduknya dengan kedua belah tapak tangannya menutup muka lalu berlari ke arah Takashimaya Time Square. Telefon bimbit dan beg tangannya ditinggalkan di atas meja.

bersambung...