: Story by pakDEN :

Take 1

Semuanya berlalu terlalu pantas. Seperti baru semalam aku mendaftarkan diri untuk program persediaan ke Jepun dan sekarang aku sudah di sini, menghirup udara segar musim bunga dan menikmati permandangan sakura yang baru berkembang. Aku berjalan menentang arus manusia yang sedang menuju ke stesen Shinjuku. Jam Bohla hijau di tangan menunjukkan waktu sudah mencapai 7.00 malam dan aku perlu tiba di kafe Starbucks tempat aku bekerja sebelum 7.30 malam.

Setelah mengenakan seluar hitam dan kemeja putih, aku mencapai apron hijau yang tergantung dalam loker. Hari ini tugas aku adalah bar. Terdapat tiga tugas utama pada satu-satu masa di kafe ini iaitu bar; orang yang bertanggungjawab dalam proses menyediakan minuman, kaunter; orang yang menerima pesanan dan bayaran serta support; orang yang akan membantu mana-mana bahagian yang sedang sibuk. Tanda nama aku berbunyi Yuza, singkatan kepada nama Yuzaini. Sebolehnya aku mahu dikenali sebagai Yuzaini di kafe ini tetapi Aomi-san., senior 3 bulan dariku, merasakan yang Yuzaini terlalu panjang untuk disebut. Alasannya bagi aku terlalu rapuh tetapi kerana comel senyuman Aomi-san, aku terima. Gadis Comel-1 dan Yuzaini-0. Sebelum aku terlupa, di cawangan ini cuma terdapat dua orang staf lelaki, aku dan Arashi-kun manakala yang lainnya termasuk Pengarah Bahagian adalah perempuan.

Perniagaan hari ini bergerak perlahan. Mungkin kerana ramai yang pulang lebih awal kerana esok adalah cuti umum seluruh Jepun. Staf yang bertugas hanyalah aku, Kiko, gadis 19 tahun dari Omiya dan Nakada-san, supervisor hari ini. Jam menunjukkan 9.15 malam. Aku bertanyakan Kiko bagaimana dengan sekolah persediaan yang dihadirinya dan universiti mana yang ingin dipohonnya nanti. Walaupun sudah dua tahun aku di bumi Jepun ini kefahaman bahasa Jepun aku bukanlah 100%. Kadangkala Kiko ketawa apabila aku mengulang kembali perkataannya ataupun apabila aku tiba-tiba terkeluar dari tajuk perbualan. Nakada-san pula berada di bilik menulis laporan untuk malam ini mungkin. Tiba-tiba Kiko memegang perutnya dan meminta aku menggantikan tugasnya sebentar di kaunter kerana dia ingin ke tandas. Selepas aku mengangguk dia terus ke bilik supervisor meminta Nakada-san membantu aku dan bergegas ke bilik belakang. Senggugut barangkali.
Ada 4 pasang yang aku kira kekasih dan 3 orang pelanggan individu di dalam kafe ketika itu. Nakada-san berada di bar dan aku disuruh bertugas di kaunter. Entah bila akan habis shif aku malam ini. Rasa bosan mula datang. Lirik lagu Mistikus Cinta dari kumpulan Dewa aku nyanyikan perlahan untuk mengatasi bosan itu.

Ketika jiwamu, merasuk ke dalam, aliran darahku dan meracuniku
Ketika jiwamu, memalukan itu, dan biarkan jiwaku cumbui jiwamu

Ketika aku melafazkan rangkap yang terakhir, pintu kafe terbuka dan muncul seorang gadis. Wajahnya tidak persis wanita Jepun, ketinggiannya lebih kurang 160cm, rambut lurusnya dipotong separas bahu dan bergelora di tiup angin, dalam lingkungan 20an mungkin. Ada sesuatu yang membezakan gadis ini daripada gadis-gadis yang pernah aku temui, menarik minat aku untuk terus memperhatikan dirinya. Suasana malam menyukarkan aku untuk meneka warna kulitnya. Gadis itu kelihatan ranggi dan lincah dengan seluar jeans ketat serta but tinggi separas lutut. 'Berdada besar'. Aku tewas lagi. Gadis Comel-2 dan Yuzaini-0. Dia masih lagi berdiri di situ sambil memerhatikan skrin telefon bimbitnya, tidak sedar dirinya sedang diperhatikan dan dinilai. Sedang membaca mesej dari teman lelakinya mungkin. 'Biarlah, tu bukan masalah aku'. Apabila dia menghampiri kaunter, wajah Asia Tenggaranya terserlah, menyebabkan aku teragak-agak untuk bertanya dalam bahasa Jepun dan aku kira dia sedar aku dalam dilema.

"Can I have a large size hot mocha please." tutur gadis itu dalam bahasa Inggeris. Dia senyum memandangku.

"Yes. The total is 360 yen." aku membalas balik senyumannya, etika perniagaan yang amat ditekankan di semua kafe Starbucks. Gadis itu mengeluarkan beg duit panjang dari tas tangan coklatnya. Logo Chanel kecil tersulam dihujung beg duitnya. Hampir kesemua duit yang dimilikinya adalah not 10 000 yen. Dia menghulurkan sekeping not 1000 yen.

"Your change is 640 yen. Please wait there for your coffee, thank you" aku tidak dapat melarang mata ini dari memandang dirinya berjalan perlahan menuju ke bar sambil memasukkan kembali beg duit dan menutup tas tangannya. Dia berdiri memandang Nakada-san yang sedang menyediakan mocha untuknya. Wajahnya mirip wanita Melayu walaupun bermata agak sepet, kacukkan Cina barangkali. Walaupun kelihatan tenang, raut itu seperti menyimpan sekeping rahsia dan kesedihan. Tiba-tiba mata aku dan dia bertembung. Kantoi. Aku berpura-pura mengelap kaunter yang tidak kotor sambil tersengih busuk dan dia pula cuma tersenyum kecil, terhibur melihat gelagat aku seperti orang bodoh. Comel. Gadis Comel-3 dan Yuzaini-0.

Kiko kembali dari bilik belakang dan aku bertanyakan keadaannya. Dia membalas yang dia tidak ada apa-apa. Nakada-san bertanya lagi untuk memastikan yang Kiko benar-benar ok sebelum kembali ke bilik supervisor. Kehadiran Kiko memaksa aku ke bar semula dan hati aku agak memberontak kerana aku tidak dapat melihat gadis asing tadi dari situ. Jam di dinding kafe menunjukkan pukul 10.30 malam dan kafe akan mula ditutup. Nakada-san keluar dari biliknya dan meminta maaf kerana hari ini terdapat banyak kertas kerja yang perlu diselesaikan olehnya sehingga tidak dapat membantu aku dan Kiko. Kemudian dia mengajak aku mengemas bahagian depan dan memberitahu pelanggan yang perniagaan hari ini sudah hampir tamat. Apabila aku keluar dari bar menuju ke bahagian hadapan, aku sedar yang gadis tadi masih di situ, memandang ke arah Takashimaya Time Square dan orang lalu-lalang yang bermacam ragam. 'Alamak, aku la yang kena tegur dia macam ni', aku berjalan ke arahnya sambil membetulkan seluar aku yang sedikit kedut dan mengelus rambutku supaya kelihatan kemas.

"I am very sorry miss but we are about to close."

"Erm okay. Thank you!" murah sungguh senyumannya. "Err..excuse me, are you Malaysian?"

"Yes I am a..saya orang Malaysia", aku memandangnya sambil tanganku mengelap meja di sebelah. Matanya membulat dan bersinar, mungkin kerana berjaya meneka kerakyatan aku. Wajahnya bertukar sedikit ceria dan menzahirkan lagi keayuan wajahnya.

"Sorry. You are quite dark so I was afraid that you are maybe from Sri Lanka or African maybe hehehe..Sebab tu saya tak cakap Melayu tadi", dengan jujur dia melafazkan apa yang terlintas dalam fikirannya. 'Hey cik adik, ini bukan sebarang hitam tau, ini hitam manis macam dalam lagu P.Ramlee tu la' detik hatiku. Aku cuma tersenyum sambil cuba menumpukan perhatian kepada meja yang aku sedang aku lap. Entah sudah berapa ribu kali aku mengelap meja itu. Aku mahu ke meja tempat dia berada tetapi aku segan. 'Come on Yuzaini, be professional!'

"Awak marah ke saya cakap macam tu? I am so sorry. Mulut saya memang tak tahu nak rahsiakan apa yang saya sedang fikir", wajahnya berubah, khuatir kata-katanya tadi menyinggung perasaan aku.

"Err..tak marah cuma dah lama saya tak cakap Melayu. Susah nak susun ayat hehe.." aku bergerak ke mejanya. Aku mengelap meja itu tanpa memandang wajahnya. 'Mulut tu tak tahu nak diam sebab mulut tu comel', lafazku dalam hati sambil tersenyum sendiri.

"Kenapa awak senyum-senyum tu? Takpelah. Saya rasa saya better balik sekarang. Jumpa lagi!" gadis itu bangun dan memperbetulkan pakaiannya. Bekas minumannya aku capai terlebih dahulu dan memberi isyarat yang aku akan buang untuknya. Dia senyum lagi dan mengorak langkah menyertai arus manusia yang sedang bergerak di hadapanku. Semakin lama semakin mengecil dan menghilang. Aku pula menyelesaikan tugas mengelap dan masuk semula ke dalam kafe. Gembira kerana hari ini tidak seperti hari-hari lain. Gembira hari ini kerana aku dapat bertemu dengan seseorang yang begitu indah.


2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

ting! ting! ting!

and the winner is GADIS COMEL!!
with the overall score Gadis Comel 3 - Yuzaini 0!!

hehe.
sweet.
ade sequel to this entry kan..?

8:12 PM  
Blogger liumx said...

Saya tengah carik org2 Malaysia di luar negeri dan Pakden ni rasanya salah satu, maaf kerana blog saya kurang userfriendly jika Pakden cuba baca, tapi rasanya kanji2 di dalam sebahagiannya mungkin tercam.

12:04 AM  

Post a Comment

<< Home