: Story by pakDEN :

Take 2

Aku menggalas beg ke bahu sambil berjalan keluar dari café. Semalam aku tidak bekerja. Hari ini shif aku bermula 7.30 malam dan sekarang sudah hampir 11.45 malam. Walaupun waktu kerja aku tamat pada pukul 11, sudah menjadi kebiasaan aku lepak bersama-sama rakan sekerja dan berbual sambil minum latte sebelum aku pulang. Apabila melewati meja yang terakhir aku teringat akan perbualan aku dan seorang gadis Melayu dua hari yang lalu. Aku berharap sangat dapat melihat lagi mata sepet dan keindahan wajahnya itu pada hari ini tetapi ternyata perkara ini tidak munasabah. Mungkin dia cuma seorang pelancong yang datang dan pergi dan mungkin juga dia sudah kembali ke Malaysia. Segalanya mungkin. ‘..dan mungkin dia akan datang lagi?’ , aku tersenyum sendiri dan mengorak langkah pantas kerana aku tidak mahu terlepas tren yang terakhir untuk pulang ke rumah.

Keadaan di Stesen Odakyu masih dipenuhi dengan remaja-remaja yang berpakaian bermacam jenis, pekerja-pekerja pejabat yang kebanyakkannya mabuk dan gadis-gadis seksi yang kemerahan pipi kesan alkohol. Seorang pakcik tua hampir muntah ke kaki aku tetapi nasib baik gerak langkah silat ajaran Guru Sudin masih terpahat di dada. Aku mengelak ala-ala gaya pendekar sambil tanganku membuka Bunga Tanjung. Tercengang beberapa anak muda yang kebetulan berada di situ sambil berbisik-bisik sesama sendiri. Mungkin mereka khuatir aku mahu patahkan leher pakcik tua yang sedang mabuk itu. Dua orang pekerja stesen datang dengan pantas dan salah seorangnya membantu pakcik itu manakala temannya cepat-cepat membersihkan muntah. Begitu dedikasi sekali kedua-duanya bekerja. Aku melangkah pantas melarikan diri kerana loya dan menuju ke gate tiket automatik, tetapi malangnya kad tren aku sudah kehabisan nilai dan gate itu tertutup dengan sendirinya.
Jam Bohla aku sudah menunjukkan pukul 12.01 malam dan tren terakhir menuju ke rumah aku akan berlepas lagi 15 minit. Aku merempuh orang ramai yang datang dari arah bertentangan dan menuju ke mesin tiket. ‘Aku tidak mahu tidur di sini!!’, jerit hati aku. Ketika saat-saat genting seperti inilah pelbagai masalah terjadi. Mesin tiket itu tidak mahu menerima not 1000 yen yang aku masukkan. Aku semakin kelam-kabut dan membuka zip beg aku luas-luas mahu mencari duit syiling. ‘Ah, ade pun kau kat sini’, aku memasukkan syiling 500 yen.

Tiba-tiba terasa bahu aku dicuit dari belakang. Aku berpaling dan terperanjat. Gadis tempoh hari berada di belakang aku. Matanya sembab dan tangannya yang memegang sapu tangan menutup sedikit dagunya. Seperti baru lepas menangis.

“Saya tak tahu macam mana nak balik ke hotel. Tren saya dah habis..”

“Err..emmm..kat mana hotel awak tu? Cakap kat saya nanti saya cuba check jadual tren awak guna ketai, eh silap, guna handphone saya.”

“Takde..tren saya memang dah habis. Awak tak perlu check”

“Err..alamak”, kepala aku bertambah serabut dengan masalah yang tidak aku duga ini. “Habis tu nak buat macam mana ni?” aku menggaru kepala sambil melihat dia mengesat air mata. Aku dapat lihat wajah pemuda yang sedang menunggu untuk membeli tiket di belakang kami semakin merah wajahnya. Mungkin marah dengan drama yang ditayang di hadapannya tanpa alihan suara.

“Boleh saya tumpang di rumah awak?....” otak aku sudah tidak dapat berfungsi dengan baik dan dengan pantas aku menekan butang dan membeli tiket untuk 2 orang. Aku mengambil baki dan bergegas menuju ke gate tiket automatik. Kemudian baru aku tersedar dan menoleh ke belakang.

Gadis itu menghulurkan tangan kanannya seperti menyuruh aku menariknya. Wajahnya ditundukkan dan tertutup sedikit oleh tangan kirinya yang sedang memegang sapu tangan. ‘What the f…?’ otak aku menjerit. Masa semakin suntuk dan aku tiada pilihan kecuali menggenggam jemarinya dan melangkah pantas ke depan. Kedua-dua tiket aku masukkan serentak dan kami berlari berkejar ke arah tren kelabu bercorak garisan biru yang sudah mahu menutupkan pintu. Sempat!

Aku menyandarkan tubuhku ke pintu tren dan tunduk melepaskan nafas lega. Aku hampir terpaksa tidur di stesen tadi. Walaupun esok hari Sabtu tetapi aku tidak sanggup. Kejadian diraba oleh lelaki berjambang ketika terpaksa tidur di Stesen Subway Yuurakucyou masih menghantui tidur malam aku. Walaupun sebaik sahaja tersedar aku sempat menerajang perut lelaki berjambang itu sehingga terjatuh, perasaan tidak suci dan rasa dicabul sudah memenuhi diri. Tiba-tiba aku tersedar yang tangan aku masih mengenggam jemari gadis itu, cepat-cepat aku lepaskan dan beristigfar. ‘Perempuan bukan mahram tidak halal untuk kamu sentuh..’ kata-kata Ustaz Ismail, guru bahasa Arab merangkap penyelia badan pengawas terngiang-ngiang di telinga. Gadis itu tersentak apabila jarinya dilepaskan dengan kasar. Dia kemudian memegang jarinya seperti menahan sakit dan tubuhnya mula bergegar menahan tangis. ‘Kuat sangat ke aku buat tadi?’

“Cik, tolong jangan menangis. Saya tak sengaja. Shhhhh…” aku memujuk dia supaya diam. Mata-mata penumpang lain yang kebanyakannya bewarna merah, sudah tentu disebabkan alkohol, mula tertumpu ke arah kami berdua. ‘Takkan aku nak peluk budak ni? Maksiat maksiat..’

“Awak marah saya..lepas tu awk lepaskan tangan saya kuat-kuat..saya minta maaf..saya tahu saya susahkan awak..” sedunya mula reda. Matanya menjadi agak kotor kerana eye shadownya telah tertonyoh oleh sapu tangannya.

“Ok saya janji tak marah dah…” dan tiba-tiba tren semakin perlahan dan berhenti. Oleh kerana kami berada di depan pintu, aku terpaksa menghimpit gadis itu ke tepi untuk memberi ruang kepada penumpang yang hendak turun. Ketinggiannya separas dada aku, rambutnya diwarnakan perang gelap, berombak menutupi sebahagian wajahnya. Aku kemudian pergi ke hadapan sebuah tempat kosong dan menyuruh dia duduk sambil aku berdiri bertentangan dengannya. Tangisannya sudah reda dan matanya mula meliar melihat keadaan di dalam gerabak. Selang dua orang darinya ada seorang pakcik dengan sut kelabu sedang tidur dengan air liur yang sedang meleleh. Gadis itu cepat-cepat berpaling, barangkali geli melihat keadaan itu.

“Nama saya Ariffah..” dia bebisik sambil tertunduk.

“Apa..?” aku bertanya kerana dia seperti ada menyebut sesuatu.

“Nama saya, Ariffah.” dia mengangkat wajah sambil menghulurkan tangan. Sapu tangannya sudah disimpan ke dalam beg tangannya, LV, bukan beg yang sama sebelum ini.

“Nama saya Yuzaini.” aku tidak menyahut huluran tangan itu, cuma mengangguk hormat. Kepala aku mula ligat berfikir berkenaan apa yang hendak aku buat sekarang. Khaled dan Fakhrin, teman serumah aku sudah tentu bakal terkejut besar. Aku memandang keluar tingkap tren dan merenung jauh.

“Awak menyesal kerana tolong saya? Saya minta maaf sangat..” Ariffah bersuara sedih, mungkin kerana melihat aku menggeleng-gelengkan kepala. Sedunya tiba-tiba datang. ‘Ya Allah, anak siapa la ni? Asyik nak nangis jek. Manja betul. Ketuk kepala tu kang!’ aku melihat gelagatnya sambil menyuruh diri aku bersabar.

“Tak. Tak menyesal pun. Tapi kalau cik Ariffah asyik ulang ayat yang sama dan nak nangis je mungkin saya akan mula rasa menyesal.” Terus Ariffah diam menahan sedu. ‘Ariffah, nama Melayu tulen tapi dressing ya Rabbi..tapi nasib baik comel hehe..’ aku tersenyum sendiri, gembira kerana berjaya mengawal keadaan. Yuzaini 1 – Gadis Comel 3. Perjalanan tren itu aku rasakan begitu panjang, memberi masa kepada otak aku untuk merancang plan tindakan aku yang seterusnya. Serabut!


1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

cepat la update.. tak sabar ni! haih.. nape laa tak jumpa ur blog earlier.. bleh baca dari awal entry end 2004.. hehe

4:42 AM  

Post a Comment

<< Home